Saturday, 1 September 2012

KISAH ZAHRIMAN: SERIBU KENANGAN DI ALAM PRIMARY SCHOOL


 
 
Rumah keluarga Zahriman Alias di Penajih. Semasa kecil Zahriman tinggal di sini
 
Saya lahir pada tahun 1948, anak ke empat dari seorang guru sekolah. Saya memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Penajih pada tahun 1954 dan tamat primary school di TBS pada tahun 1961. Namun percaya atau tidak,dalam tempoh yang begitu singkat saya telah berpindah sekolah sebanyak 6 kali. Jadi tak salahlah kalau saya boast yang saya punya pengalaman paling banyak dan paling pelbagai semasa di primary school. Apa tah lagi, saya ni mempunyai kebolehan agak unik kerana saya boleh mengingati butir-butir agak terperinci walau di zaman baby. Bayangkan, saya boleh ingat dengan jelas semasa umur saya dua tahun setengah, doktor di hospital Seremban telah belah peha saya kerana ada bisul besar yang tidak bermata dan saya menjerit "dahlah tu, dahlah tu, dahlah tu....." tanpa henti sebab sakit dan takut.
Saya juga ingat semasa umur tiga tahun, saya tidur bersama emak-abah, kedudukan saya di atas katil di tepi tingkap, tiba-tiba tingkap itu terbuka dan saya jatuh terus ke tanah setinggi kira-kira lapan kaki......Saya juga ingat semasa umur tiga tahun, dubur saya di masuki lintah ketika mengikut arwah emak membasuh kain di sungai........Ya, macam2 lagi saya boleh ingat semasa saya masih di zaman baby.
 
Berbalik kepada cerita sekolah. Pada 1954 saya sebenarnya belum cukup umur untuk masuk sekolah. Namun di sebabkan ayah saya seorang cikgu yang mengajar disekolah Penajih, dia telah memasukkan saya ke darjah 1, sekolah ikut-ikut, katanya, Saya ingat kelas saya ketika itu amatlah teruk keadaannya. Cikgu saya bernama Samad, amat garang, suka denda budak dengan memasukkannya di celah papan hitam (yang berkaki 4) dan menyepit budak itu dengan papan hitam. Amatlah kami geruni. Guru besarnya cikgu Jalal, bapa kepada Dato Rahman Jalal mantan duta Malaysia ke Australia dan Jepun. Dia juga sangat garang, suka menyiram budak2 bodoh dengan air sejuk yang diambil dari peti ais di rumahnya. Rumahnya bersebelahan dengan sekolah dan dia adalah satu2 warga Kg Penajih yang ada peti ais ketika itu walau pun kampung kami belum ada letrik.

 Kelas saya memanglah sangat- sangat teruk, keadaannya tak ubah saperti reban kambing.....atapnya rembia, tiangnya kayu2 hutan, dindingnya buluh dan lantainya hanya tanah merah yang penuh debu. Kami para murid tidak ada yang berkasut, termasuklah saya walau anak seorang guru. Kaki kami sentiasa merah berdebu sampai kelutut, uniform kami pun sama merah dengan lantai kelas. Satu lagi yang ketara, para murid ketika itu hampir semunya berpenyakit kulit dan berbagai penyakit lain. Kaki berkudis dan berpekung tu tak usah cakaplah, hampir semua murid pun ada.
Ada ramai jugak yang telinga bernanah.....Alamak amatlah meloyakan apabila melihat nanah meleleh keluar dari telinganya, apa tah lagi kalau kena duduk disebelahnya.....Baunya pasti mengundang loya dan nak muntah. Tak kurang jugak bilangan murid2 yang perutnya buncit mengoneng di sebabkan longgokan jutaan cacing kerawit didalamnya. Ya, begitulah teruknya keadaan kesihatan kita di zaman sebelum Merdeka dan di bawah pemerintahan British.

 Semasa melalui kelas ikut-ikut Darjah 1 ini, sebenarnya saya tidak belajar apa-apa.  Maklumlah saya sangat kecil berbanding murid lain. Saya sentiasa dalam keadaan takut dan tiada self- confidence. Saya juga sering ponteng, maklumlah sekolah ikut-ikut......
Tahun‎1955,  arwah abah bertukar sekolah ke Bongek, lalu dibawanya saya ke sana untuk memasuki Darjah 1. Jauhnya lebih kurang tiga batu dari rumah saya. Di sinilah saya memulakan kelas secara formal . Cikgu saya bernama Bidin. Dia kawan baik abah saya, dan dia juga punya seorang anak perempuan bernama Laily Maznah yang duduk di sebelah saya dalam kelas. Saya berkawan dengan Laily Maznah dan selalu ikut dia balik ke rumah kerana ayahnya tinggal di berek dalam kawasan sekolah Bongek.

Hari pertama saya di sekolah Bongek agak sukar saya lupakan kerana Cikgu Bidin telah memegang satu rotan yang panjang di tangannya dan memukul tapak tangannya sendiri sambil berkata kepada saya, "Iman kalau jahat, nanti cikgu pukul dengan rotan ni...." Sebenarnya Cikgu Bidin hanya berseloroh dengan saya kerana dia adalah kawan baik ayah saya, namun saya tetap takut. Aair mata saya berjujuran keluar......Memang saya amat mudah menitiskan air mata semasa kecil dulu.
 Pada awal tahun 1955 saya berulang alik pergi sekolah naik motosikal Triump 500 kepunyaan abah. Motor tu baru je dibeli, kerana sebelum tu abah pakai motosikal AJS. Seronok naik motosikal abah, dan itu memang hobi saya. Malah sebelum saya bersekolah, pada tahun 1952-53, semasa abah mengajar di seolah Kebangsaan Pulau Besar, dan setiap kali dia balik dari mengajar, saya akan sedia menunggu di laman rumah.

Motosikalnya akan boleh kedengaran dari jarak satu batu dari rumah. Saya amat kenal bunyi motosikalnya, malah dia seorang saja yang memiliki motosikal  dalam kampung tu. Sebaik bunyi motosikalrnya kedengaran, saya berlari sekuat hati, kadang-kadang dalam keadaan telanjang bogel, menyonsong abah......Saya mampu berlari setengah kilometre  dari rumah menyonsong abah, dan melompat naik bertenggek di belakangnya. Apabila tiba di rumah pula, sesuatu yang paling rutin akan berlaku......Abah akan mendokong saya, sambil berjoget dan menyanyi,....."Ah ah ut anak sapo?"
saya jawab "Anak abah.”

Dia nyanyi lagi, "Ah ah ut cantik sapo?"

Saya jawab, "Cantik abah."
Soalan cepu emas abah, "Ah ah ut bucuk sapo?"

Jawaban pasti saya, "Tak bucuk."
This happened everyday without miss......

 Arwah abah punya motosikal, dan di masa sama dia punya motokar. Pada awal 50’-an, dia guna kereta Austin jenis lama. Kami panggil kereta buah kana kerana bentuknya yang panjang dan bujur. Pada pertengahan 1955, abah telah jual kereta buah kana tu, dan beli kereta Morris Minor no. N 5063 (kalau tak silap). Sebaik dapat kereta baru, abah ajak kami sekeluarga pergi makan angin ke Melaka.......Ya, kami ke tepi pantai di Tanjong Keling. Amatlah seronoknya bermain pasir di sana. Lewat petang barulah kami bersedia untuk pulang.
Malang tidak berbau, sebaik abah cuba meluncurkan keretanya, tayarnya terbenam ke dalam pasir. Terkial-kiallah abah hendak mengeluarkan kereta itu daripada  pasir tapi tidak berjaya. Lama sungguh dia mencuba, namun masih gagal, bahkan makin dalam terbenamnya. Bertambah malang, ketika itu tidak kelihatan seorang pun orang lain untuk diminta tolong.
 
Zahriman (kiri) bersama tamu di rumahnya di Kuala Selangor. Kelihatan Zain Yassin (kanan), isteri, isteri Zahriman dan isteri Ahmad Fadzil Yassin. Beraya di rumah Zahriman 1433.

Akhirnya, ketika hampir senja, tibalah seorang lelaki. Dia membawa cangkul dan beberapa helai guni. Dia tidak becakap sepatah haram pun kepada abah. Dia terus menggali dan menggali di bawah tayar kereta. Setelah itu dia meletakkan guni-guni tadi dibawah tayar. Abah start kereta, meluncur terus berjaya keluar dari perangkap tadi. Abah keluar dari kereta untuk mendapatkan orang tua itu, namun dia telah pergi jauh tanpa berucap sepatah perkataan pun kepada kami.  Abah kata, “Aneh sungguh orang itu, dia muncul secara tiba-tiba dan pergi juga secara tiba-tiba.”
 Semasa saya bersekolah di Bongek, saya dapat cerita dari orang sekeliling bahawa seorang lelaki yang rumahnya di sebelah sekolah itu telah menang loteri social welfare hadiah no,1 dan dapat RM 300,000 kalau tak salah. Lalu orang panggil dia dengan gelaran Aziz Kaya. Kemudian dia telah buat rumah batu di sebelah sekolah Bongek itu. Dengar khabarnya, bukan sekali Aziz Kaya menang loteri, malah beberapa kali. Apalah ilmu yang dia pakai agaknya.

 Perjalanan naik motosikal dengan abah pergi sekolah Jimah memang amat jauh. Rasa tak sampai-sampai. Sekali-sekali abah akan menghulurkankan tangannya kebelakang dan menyentuh badan saya sambil bertanya, “Iman ngantuk tak, jangan lolap yo, jatuh kang.”
Akhirnya perjalanan atas jalan raya yang luas dan lancar itu terhenti. Saya tengok abah masuk pulak ke suatu lorong yang jalannya penuh batu-batu merah yang berketul-ketul, juga penuh dengan lubang dan lopak. Saya mula risau. Inikah tempatnya yang saya nak pergi bersekolah ni? Jalannya jauh lebih teruk berbanding dengan jalan masuk ke kampong saya, walau jalan di kampung saya  juga adalah jalan tanah merah. Kini baru saya sedar yang saya sedang menuju ke suatu kampung yang sangat terpencil, jauh di pendalaman. Tidak ada jalan lain untuk ke tempat itu melainkan melalui  jalan laterit dalam estet getah yang berbatu-batu  jauhnya.

Jalan itu gamaknya hanya layak dilalui oleh lori-lori hantu kepunyaan estet. Memang lama melalui jalan estet itu. Rasa kematu punggung saya dihempas-pulas oleh jalan berbatu dan berlopak itu. Akhirnya sampai juga saya ke Kampung Jimah. Lengang je kampung tu, tak banyak pun rumah. Ada pun rumah kayu macam rumah orang asli je. Dan pertama kali saya dapat melihat sekolah yang akan belajar selepas ini. Alamak kecil dan buruk sangat sekolahnya. Bilik darjah ada dua sahaja. Ada bilik guru besar dan bilik guru, dan ada satu setor.
Jumlah muridnya  dari darjah 1 sampai darjah 6 sekitar 20 orang. Guru pula ada dua orang. Saya tidak belajar apa-apa pun pada hari pertama itu. Hanya berborak-borak je. Saya dimasukkan ke kelas bercampur darjah 1 sampai darjah 3. Pertama kali saya berjumpa guru saya Namanya Sulaiman. Baik orangnya, kulitnya putih, muka hensem. Rambut keriting dan sentiasa tersenyum membuat hati saya lega.

Dia masih bujang dan tinggal menumpang di rumah tok Ketua kampung di seberang sawah bernama Pak Yusop. Cikgu Sulaiman berasal dari Kampung Sirusa, Port Dickson.
 Guru kedua di sekolah itu bernama Rashid. Dia tinggal di berek sekolah bersama isteri dan dua orang anak yang belum bersekolah. Di sebelah berek Cikgu Rashid ada sebuah berek kosong. Di situlah agaknya saya akan tinggal bersama keluarga saya.

Selesai sesi sekolah saya balik semula ke kampung untuk abah menguruskan kerja-kerja berpindah rumah. Saya tak ingat bila dan bagaimana abah memindahkan barang-barang ke rumah berek di dalam hutan belantara itu. Kami perpindah empat beranak, abah, emak, saya dan adik bongsu saya bernama Norlin yang berumur tiga tahun.
Pada masa itu abang saya yang tua bernama Dzulkifly bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Dia budak pandai, sentiasa jadi best student di MCKK. Abang kedua saya, Baharuddin pula belajar di Federal Military College Port Dickson, sementara kakak saya Siti Zubaidah belajar di Malay Girls College. Jalan Damansara. Dan saya belajarlah dalam sekolah di tengah2 hutan belantara ini.

Nyata kehidupan saya di dalam kampung Jimah itu amat membosankan. Saya hampir tidak ada kawan langsung kerana rumah mereka terlalu jauh dari sekolah, rumah orang pun jarang-jarang kena menempuh hutan dan sawah untuk sampai. Rumah pun tidak banyak, hanya sekitar 15-20 buah rumah. Apalah nasib saya tinggal di tempat jin bertendang begini. Tapi sekarang Jimah tidak lagi ceruk. Htan belantara tebal yang pernah mengelilingi kampung Jimah dahulu kemudian kelak ditebang, diteroka setiap inci lalu diconvert menjadi Felda LBJ dan Felda Sendayan. Dn terkini peneroka-peneroka Felda Labu dan Sendayan sudah menjadi juwatan segera belaka. Tanah-tanah Felda itu telah bertukar menjadi Seremban 2.
 Di hadapan sekolah ada sebuah padang bola yang dipenuhi rumput memuncup. Di situlah saya bermain, berlarian sendirian. Apabila saya bosan, saya pergi ke belakang berek, akan saya cabut benih-benih pokok yang saya jumpa, termasuk pokok papaya dan terung pipit, lalu saya tanam di tepi-tepi rumah saya

Kadang-kadang  saya ambil kentang kepunyaan emak dan saya tanam kerana saya rasa terhibur apabila melihat benda-benda yang saya tanam itu tumbuh. Kini saya bersyukur. Rupanya bermula dari sinilah saya berminat bercucuk tanam sampai ke tahap sekarang......
 Cukup setakat ini dulu.....

 

 

No comments:

Post a Comment