Wednesday, 12 September 2012

SAMO TOMPI TAK SOGHUPO!?

Dua buah rumah di bawah ini adalah kepunyaan keluarga Uwan Teh dan keluarga Zahriman Alias. Satu terletak di Kg. Tanah Datar, Gadong dan satu lagi terletak di Penajih, Chengkau.Menariknya bentuk rumah ini sama, cuma satu lebih lama daripada yang satu lagi.
 
Barangkali kedua-dua keluarga ini tahu bila rumah-rumah ini dibina dan oleh siapa. Yang identik ialah penghuni rumah ini. Salah seorang penghuni rumah lama di Tanah Datar ini nmanya Ngah Rashid, anak Uwan Teh (Tiawa) yang kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Kg. Relong. Sementara rumah yang lebih baru milik keluarga Zahriman terletak di persimpangan Penajih-Relong.
 
Adalah diyakini suatu ketika dahulu anggota keluarga di dua buah rumah yang serupa ini pernah mengikuti jalan ke Relong ini. Dan diyakini juga anggota Uwan teh yang melalui  jalan simpang ke relong ini akan merenung ke arah rumah ini untuk menghayati senirekanya. Hati mungkin berdetik berkata: Macam ghumah eden jo!
 
Di rumah Uwan Teh ini kita kaitkan dengan seorang anggota Kabinet Persekutuan hari ini, iaitu Dato' Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya dan bersepupu dengan YB Khairy Jamaluddin. Bapa Shaziman, Abu Mansor  dengan bapa Khairy, Jamaluddin adalah adik-beradik. Kedua-duanya anak Penghulu Haji Bakar yang terenl di daerah Rembau. Sementara dalam kalangan keluarga Zahriman, bapa Zahriman sendiri sorang tokoh guru veteran, dan Zahriman sendiri mantan pegawai polis dengan post terakhirnya sebelum bersara menjadi OCPD Grik, Perak.
 
Dipercayai juga kedua-dua keluarga ini berasal daripada keturunan "keluarga bangsawan" juga yang dikaitan dengan Pagarruyung. Kebetulan juga dua keluarga yang tidak mempunyai kaitan ini memiliki keluarga besar. Contohnya, Uwan Teh beribubapakan Jaafar dan Sulong dn Uwan Teh meninggal dunia semasa mengerjakan Haji di Mekah. Zahriman pula mungkin dapat menjelaskan salsilah keturunannya pula untuk pengetahuan kita bersama.
 
Ahmad Fadzil Yassin:
  Bukan apo ahriman, ese nak cubo kaitkan kisah keluarga duo keturunan ini. dari pihak ese ada jugak cerita yang dikaitkan dengan "keturunan bangsawan" ini. Malah lebih tragik sikit.
Zahriman Alias :
Menurut cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua dalam keluarga kami, keturunan saya memang orang asal di kampung Ampangan, Penajih. Kami memang berasal dari Pagarruyung , Sumatra Barat. Mengikut dua orang bapa saudara saya yang masih hidup, Tuan Haji Tambi Abdullah bin Long, pesara Kerajaan dan bekas Pengarah di Jabatan Penerangan, dan adiknya Tuan Haji Mohammad bin Long, juga pesara Kerajaan, nenek moyang kami adalah termasuk dalam rombongan terawal Tuanku Raja Melewar yang datang ke mari pada tahun 1770an dari Pagarruyung.
Mereka beramai-ramai menaiki perahu membedah Selat (Melaka) menuju Kuala Sungai Linggi dan menyusur ke hulu sampai ke Kampung Ampangan Penajih......di sinilah letaknya telapak awal saya. Nenek moyang saya yang pengenalannya tidak pula diketahui, telah sama-saa dengan Raja Melewar membuka kampung pertama di Ampangan. Namun, di suatu masa berikutnya, barulah Yamtuan berpindah pula ke kampung Penajih Bandar di mana baginda kemudian ditabalkan sebagai Yamtuan Besar pertama Negeri Sembilan.
Mengikut ceritanya lagi, keluarga saya juga dari keturunan bangsawan, namun bukan keturunan langsung (direct) Tuanku Melewar, tapi suku-sakat baginda. Suku saya ialah Batu Hampar Minangkabau. Telapak asal keluarga saya bukanlah di rumah yang ada dalam gambar itu, tetapi di sebuah rumah lain yang kini didiami oleh Cikgu Hasnah bt Peral, Ketua Wanita UMNO Rembau sekarang. Disitulah sebenarnya arwah moyang saya bernama Simai bt Kassim tinggal sejak beliau dilahirkan pada tahun 1883.(Lebih kurang).
Pada tahun 1930an, Simai bt Kassim menduduki rumah itu bersama anggota keluarganya termasuk suaminya, Ujang, anak perempuannya Pesah, suami Pesah nama Peral, anak perempuan seorang lagi bernama Siti ( nenek saya) dan suami Siti bernama Long bin Maasol. Keadaan rumah bertambah sempit apabila Pesah beranak-pinak, dan Siti (nenek saya) pun beranakkan Aishah (emak saya) Tambi Abdullah, Mohammad, Sadinah, Khadijah dan Zaleha.
Jesteru itu, moyang saya Simai mengambil keputusan membeli sekeping tanah juga di kampung Ampangan dari seorang bernama Itam. Kemudian pada tahun 1935/36 Simai telah mendirikan sebuah rumah di tapak baru itu dengan segala kos ditanggung oleh anak bongsunya, Hassan bin Ujang yang ketika itu bekerja sebagai Penterjemah (Interpreter) Mahkamah di Kuala Lumpur. Itulah rumahnya yang terdapat dalam gambar itu. Ia siap dibina lebih kurang pada 1937 dan di sanalah tempat tumpah darah saya.
Tukang yang diupah membuat rumah itu ialah seorang bangsa Cina. Nama dia saya dah lupa. Saya akan semak semula kemudian. Kerja-kerja mendirikannya bukanlah kerja yang senang. Ini adalah kerana ketika itu kampung saya belum ada jalan raya yang boleh dilalui kereta. Hanya ada lorong untuk basikal.



Oleh itu semua bahan rumah termasuk kayu, tiang, papan, atap genting, simen, pasir, batu dan sebagainya telah diangkut dengan menggunakan basikal, diheret dan disorong sejauh 3 batu dari Chengkau ke tempat saya. Kerja-kerja mengangkut bahan-bahan itu semua dilakukan olah arwah datuk saya, Long bin Maasol dan dibantu oleh seorang yang bernama Akob.
Apabila rumah dah siap, moyang saya, Simai telah berpindah ke rumah baru itu bersama suaminya Ujang, anaknya Siti, menantunya Long dan anak-anak Siti termasuk Aishah, ibu saya. Arwah emak telah berkahwin dengan arwah abah di rumah itu pada tahun 1938. Sehari selepas perkahwinan, tiba-tiba moyang Ujang saya meninggal dunia. Ini kemudian diikuti pula oleh arwah nenek saya Siti yang meninggal dunia. Nenek meninggal ketika umur 38 tahun dan saya tidak pernah berpeluang mengenalinya.

Moyang Simai saya terus tinggal di rumah itu dengan disara dan dijaga oleh emak dan abah saya sehingga dia meninggal dunia pada 1959. Atas jasa emak yang menjaga moyang, apabila moyang meninggal, rumah tersebut diserah kepada arwah emak. Namun umur emak pun tidak panjang. Beliau meninggal dunia setahun kemudian ketika berumur 38 tahun. Justeru itu, rumah tersebut kini diserah kepada adik perempuan saya yang bongsu bernama Norlin bt Alias sehinggalah sekarang.

Ahmad Fadzil Yassin :
Masih belum dapat menentukan asal keturunan keluarga Uwan Teh, tapi menurut cerita ahli keluarga ia ada kaitan dengan kisah nisan Batu Aceh yang terdapat di "porak"  kakak Uwan Teh seperti yang diceritakan dalam blog http://www.waris-gadong.blogspot.com

 
Nisan Batu Acheh di poghak Uwan Piah di Kg. Tanah Datar, Gadong, Kota. Menurut pakar sejarah, lazimnya kaum bangsawan seperti kerabat Diraja akan membawa bersamanya nisan Batu Acheh untuk tanda di pusaranya. Ini yang terlihat di tanah pusaka keluarga Jaafar dan Sulong di Tanah Datar ini.
 

Tuesday, May 13, 2008

MISTERI BATU ACEH DI SUKU TANAH DATAR 13 mei 2008


Nisan Batu Aceh yang ditemui di kawssn rumah Safiah Jaafar di Tanah Datar.

CATATAN A.F.YASSIN
MISTERI BATU NISAN DI TANAH DATAR, GADONG.

Sepasang batu nisam yang terdapat di kawasan rumah ini menyerupai batu nisan yang dikenali dengan nisan Batu Aceh. Ini dapat dilihat daripada bentuk dan ukirannya yang menyamai bentuk dan ukiran batu nisan makam raja-raja, seperti yang terdapat di Makam Tauhid dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kota Tinggi, Johor.

Bentuk batu nisan ini sama dengan bentuk batu nisan yang menghiasi kulit buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor yang ditulis oleh Daniel Perret dan Kamaruddin Abd. Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999. Berdasarkan kajian Daniel dan Kamaruddin, batu Aceh “digunakan untuk orang Islam tertentu sahaja di Semenanjung Malaysia mulai abad ke-15. Sebenarnya maklumat yang terkandung dalam tulisan yang diukir pada beberapa batu Aceh menunjukkan bahawa ia digunakan sebagai tanda makam sultan, kaum kerabatnya serta orang-orang Besar kerajaan.”

Lazimnya, pada ketika kesultanan Melayu baik di Melaka, mahupun di tempat-tempat lain dalam daerah Nusantara adat kematian orang biasa tidak disebut dalam sumber-sumber tempatan. Undang-Undang Melaka, berdasarkan Fasal Ketiga, memberikan beberapa maklumat tentang hukum kematian rakyat jelata, orang besar-besar dan pemimpin, khususnya larangan berkaitan dengan penggunaan payung dan warna kuning. Ia tidak menyebut bahawa mayat orang biasa dikuburkan. Menurut sejarah mayat orang Melayu biasa dibakar, tidak dikebumikan seperti yang dilakukan hari ini.

Maka batu nisan yang ditemui di halaman rumah Uwan Piah itu dikesan sebagai batu nisan jenis Batu Aceh. Menurut Daniel dan kamruddin yang memetik kata-kata Prof. Dr Othman Yatim dari Jabatan Muzium dan Antikuti, Kuala Lumpur dan kini pensyarah kanan di Universiti Malaya, setakat ini kira-kira 300 batu aceh ditemui di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Dan jika benar batu nisan di halaman rumah Uwan Piah itu dari jenis Batu Aceh maka jumlahnya kini meningkat 301 buah. Johor dikatakan mempunyai jumlah yang banyak, iaitu kira=kira 211 buah berdasarkan kajian Daniel dan Kamruddin. Namun R.O. Wonstedt menemukan hanya 137, sementara Dr Othman menemukan 137


Nisan Batu Aceh dilihat dari arah utara.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Daniel dan Kamaruddin dan Dr. Othman Yatim, batu nisan Batu Aceh terdiri daripada 16 jenis dan mempunyai 14 bentuk. Jika diteliti batu Aceh yang terdapat di halaman rumah Uwan Piah itu adalah dari jenis C yang sehingga kajian dibuat ditemukan sebanyak 90 buah (tidak termasuk yang ditemui di halamn rumah Uwan Piah.

Batu Aceh mula disebut pada tahun 1512 oleh Tome Pires dalam bukunya, Suma Oriental. Beliau menyebut makam Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka, menggunakan batu nisan jenis Batu Aceh. Batu Aceh ini dibahagikan yang terdiri daripada “kepala”, “badan” dan “kaki”. Bahagian di antara kepala dan badan, iaitu bahagian yang melengkung disebut “bahu” sementara bahagian yang paling bawah ataupun tapaknya disebut “kaki”. Kebanyakan batu nisan ini diperbuat daripada batu pasir (sandstone) kerana lembut dan mudah dibentuk. Batu jenis ini tidak terdapat di Semenanjung Malaysia tapi hanya terdapat di Aceh. Hiasan yang terdapat di batu nisan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tulisan atau inskripsi dan symbol atau lambang.

Berdasarkan maklumat tersebut di atas dan keyakinan bahawa batu nisan Batu Aceh hanya digunakan untuk menandakan makam raja-raja, kerabatnya dan orang Besar kerajaan, maka diyakini, batu nisan di halaman rumah Uwan Piah di Kg. Tanah Datar Gadong adalah dari jenis Batu Aceh. Dan ini menjadi bukti bahawa jenazah yang dikebumikan itu ialah jenazah diraja, sama ada raja, ahli kerabatnya atau orang Besar raja.

Yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa batu nisan itu berada di halaman rumah berkenaan. Juga menjadi tanda tanya di kedua-dua tanah perkuburan Gadong dan Tanah Datar tidak ada batu nisan jenis ini. Jika makam ini makan diraja, siapakah gerangan yang dimakamkan? Jika lokaliti menjadi pra-syarat keyakinan maka besar kemungkinan makam itu adalah makan nenek moyang keluarga Uwan Piah adik-beradik.

Sayugia dimaklumkan bahawa Uwan Piah mempunyai beberapa orang adik-beradik. Yang tua bernama Lanjung (Anjung) yang juga digekar Uwan Aruh. Yang kedua ialah Sakiyah, ketiga Piah (Safiah). Keempat Meja (Uwan Anjang), Kelima Hawa (Uwan The), keenam Hussein (yang kahwin dengan orang Mungkal dan ayah kepada Aji (Datuk Samsura Pahlawan, ssalah weorang Lembaga Tiang Balai Nan Berempat) dan suami kepada Induk Limah. Dan yang paling bongsu ialah Bedah (Uwan Cu).
Orang tua mereka ialah Jaafar (ayah) dan Sulung (ibu). Siapa orang tua Jaafar atau Sulung masih menjadi tanda tanya. Menurut sejarah Negeri Sembilan, khususnya sejarah kerabat diraja Negeri Sembilan, ada satu jurai keturunan daripada Raja Melewar, iaitu Tengku Jaafar berkahwin dengan Tengku Sulung. Persamaan nama dua mempelai diraja ini dengan Jaafar dan Sulung yang tinggal di Tanah Datar menjadi satu misteri yang jawapannya mungkin terletak pada batu nisan Batu Aceh di halaman rumah Uwan Piah.

Buku Batu Acheh terbitan Yayasan Warisan Johor. Bandingkan data yang terdapat dalam buku ini dengan makam yang menggunakan nisan batu Acheh di Suku Tanah Datar, Gadong.

Kajian perlu dilakukan ke atas batu nisan berkenaan dari sudut saintifik dan sejarah. Barangkali pakar antikuiti seperti Prof. Dr Othman Yatim yang banyak mengkaji Batu Aceh ini boleh membantu mencari jawapan kepada misteri batu nisan Batu Aceh di Tanah Datar ini. Tulisan sama ada dalam bentuk inskripsi atau lambang di batu nisan itu mungkin dapat membantu menghuraikan bukan sahaja misteri kewujudannya di kawasan itu, tetapi sekaligus menemukan jurai keturunan Jaafar dan Sulung. Siapa mereka sebenarnya dan dari mana mereka dating sehingga menetap di Kg. Tanah Datar.

Perlu juga dimaklmkan bahawa istana Pagarruyung di Sumatera Barat tempat bersemanyamnya raja-raja Minangkabau terletak di luhak (luak) Tanah Datar. Raja yang mendirikan kerajaan Minangkabau ialah Adityavarman (1305-1398) dengan Pagarruyung menjadi ibukotanya.
Pada abad ke-19 berlaku pertentangan antara kaum adat dengan kaum bangsawan di Pagarruyung yang dikenal sebagai Gerakan Padri. Kaum Bangsawan yang dikenali sebagai kaum Padri ini bersetuju mengadakan rundingan di Bukit Marapalam, berhampiran Pagarruyung. Kesepatan dicapai yang dikenal dengan permuafakatan (konsensus), iaitu “Adat Bersendi Syarak, Syarak bersendi Adat”. Maksudnya adat dan agama saling berhubungan.

Kesepakatan ini tidak bertahan lama. Ketika British menguasai Padang, satu rundingan Kota Tengah diadakan antara kaum Padri di bawah pimpinan Tuanku Lintau dengan Perwakilan dari Pagarruyung. Tetapi semua perwakilan dari Pagarruyung dibunuh. Sultan Muning Alam Shah, Raja Pagarruyung dapat melarikan diri ke Bahagian Timur. Anak saudaranya, Sultan Gagagar Alam Shah berundur ke Padang. Tidak dijelaskan daerah timur yang mana Sultan Muning dan keluarganya melarikan diri. Apakah sultan itu dan kerabatnya menyeberang Selat Melaka dan adakah salah seorang daripada kerabat itu ada yang bernama Tengku Jaafar dan Tengku Sulong?
Juga untuk mengelakkan daripada dikejar oleh kaum Padri di Minangkabau, maka keluarga diraja ini membuang gelaran tengku di hadapan namanya dan hanya mahu menjadi rakyat biasa dan meneroka kawasan apa yang dinamakan Tanah Datar, Gadong hari ini?

Ada beberapa teori lain yang boleh menjawab misteri Batu Aceh di Tanah Datar ini. Satu teori yang dianggap munasabah ialah kegagalan anak Raja Melewar menggantikan Raja Melewar (Raja Mahmud) menjadi raja Negeri Sembilan (1773-1795). Anak Raja Melewar ini bernama Raja Totok. Undang Yang Empat tidak melantik Raja Totok menjadi Yang Dipertuan tetapi menjemput seorang lagi anak raja di Minangkabau untuk ditabalkan. Nama anak raja yang dijemput itu ialah Raja Hitam. Setelah Raja Hitam mangkat pada tahun 1808, puteranya Raja Alang Husein tidak ditabalkan. Sebaliknya anak raja dari Minangkabau dijemput, iaitu Raja Lenggang. Baginda memerintah dari tahun 1808 hingga 1824.

Apabila baginda mangkat anaknya Raja Radin menggantikannya. Mulai saat ini anak raja dari Pagarruyung tidak dijemput lagi. Tidak dijelaskan mengapa jemputan ini tidak diteruskan lagi seperti sebelumnya. Dan juga tidak dijelaskan mengapa putera Raja Melewar tidak dijadikan raja. Begitu juga halnya dengan Putera Raja Hitam. Putera Raja Melewar ialah Raja Totok dan putera Raja Hitam ialah Raja Alang Hussein. Kemungkinanya Raja Totok dan Raja Alang Hussein masih kecil sehingga belum bersediakan dijadikan raja.

Soalnya, apa telah terjadi dengan keturunan Raja Melewar dan puteranya Raja Totok. Sudah tentu mereka mempunyai keluarga dan di mana ahli-ahli keluarga diraja itu sekarang. Kemungkinan masih ada jika keturunan Raja Melewar ini masih berada di Negeri Sembilan tetapi lokasinya tidaklah diketahui. Apakah kemungkinan salah seorang ahli kerabat diraja ini membawa diri ke Rembau, khususnya ke Tanah Datar Gadong dan meneruskan kehidupan sebagai rakyat biasa, tanpa mahu menggunakan gelaran diraja lagi.

Biasanya raja-raja dan ahli kerabatnya ketika itu membawa batu nisan dari jenis Batu Aceh ke mana sahaja mereka pindah. Jika demikian apakah tidak mungkin salah seorang kerabat keturunan Raja Melewar ini dari salsilah Raja Totok membawa bersamanya batu nisan Batu Aceh ini ke Rembau sebagai persediaan menjelang tutup usia.


Teori ini menarik. Menurut sejarah Raja Melewar, sebagai Raja Rembau, tidak disenangi oleh kumpulan-kumpulan tertentu, terutama Undang Luak Rembau, Datuk Sabat Sedia Raja, kerana tingkah laku dan tidak tanduk raja itu ketika memerintah. Sejarahwan Norhalim Ibrahim menyebut punca rasa tidak senang Datuk Undang ialah keputusan Raja Melewar mengahwini Cik Sani, anak Datuk Naim dari Sri Menanti. Cik Sani ini adalah adik kepada Warna Emas, isteri Raja Khatib yang dianggap Tan Sri A. Samad Idris sebagai pembelot kepada Raja Melewar. Samad menulis Raja Khatib dititahkan Raja Pagarruyung untuk membuat persediaan sebelum keberangkatan Raja Melewar sebagai Raja Rembau (ketika itu belum ada apa yang disebut Negeri Sembilan) dan menganggap dirinya Raja yang dilantik.

Raja Melewar kemudian memerangi Raja Khatib yang bersekongkol dengan mentuanya Penghulu Naim pada kali kedua setelah kalah pada kali pertama. Khabarnya Raja Khatib melarikan diri ke Naning dan kemudian diserahkan kepada Sultan Siak. Sebabnya pembelotan Raja Khatib ini dirancang oleh Sultan Siak sendiri.. Bagaimanapun orang Rembau tidak senang dengan tindakan Raja Melewar menjadikan adik ipar musuhnya itu sebagai isterinya. Raja Melewar pun diminta keluar dari Rembau dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah isterinya di Seri Menanti.

Dalam perjalanan, berlaku salah faham antara pengikut Raja Melewar dengan tentera Rembau di Lubuk Rusa berhampiran dengan Kampung Selemak. Orang Rembau yang simpati dengan tenteranya cuba menyekat perjalanan Raja Melewar di Pedas. Mereka kemudian memburu Raja Melewar hingga ke hutan Miku namun Raja Melewar berjaya sampai ke Seri Menanti manakala ada beberapa orang kerabatnya dikatakan sempat melarikan dari dri serangan itu.

Baik Samad mahupun Norhalim tidak menyebut tentang akibat serangan itu. Juga tidak dijelaskan apa yang terjadi dengan kebanyakan pengikut Raja Melewar, terutama puteranya Raja Totok. Seorang penduduk Tanah Datar yakin beberapa orang ahli kerabat Raja Melewar menyelamatkan diri dengan berundur ke selatan hingga ke Rembau Baruh. Mereka kemudian “menanggalkan” semua darjah kebesaran dan memutuskan untuk menjadi rakyat biasa untuk mengelak mereka diserang Undang dan pengikut-pengikutnya.
Penduduk ini amat yakin salah satu pasangan suami isteri yang menetap di Tanah Datar boleh dikaitkan dengan keturunan Raja Melewar ini. Pasangan itu bernama Jaafar dan Sulung. Dalam salsilah Raja Melewar ada ahli kerabatnya yang bernama Raja Jaafar dan Raja Sulung. Katanya, “Ini persamaan yang amat tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Mungkin Jaafar dan Sulung ini boleh dikaitkan dengan salsilah ini. Satu kajian boleh dilakukan.”

Penduduk ini menyandarkan kaitan itu dengan nisan Batu Aceh di pekarangan rumah Uwan Piah. “Takkanlah batu nisan itu tidak mempunyai apa-apa pengertian. Mustahil ia ditanam di situ tanpa jenazah. Jika kelaziman raja-raja dan pembesar Kerajaan dahulu membawa batu nisan ke mana-mana menjadi petunjuk saya yakin batu Aceh di Tanah Datar ini adalah dari kerabat raja juga. Yang belum dapat dijawab siapa ahli kerabat diraja itu. Mungkin juga salah seorang anak cucu Raja Melewar,” katanya.
Othman dan Norhalim boleh membantu meleraikan persoalan ini dengan mengadakan kajian bersama dengan Jabatan Musium dan Antikuiti Malaysia. (Dipetik daripada akhbar mingguan Utusan Zaman).

Anda mungkin juga meminati:












 









10 comments:

  1. Den ghasolah rumah yang paling bawah tu lobih baghulah bobanding gumah yang kek ateh tu. Kalau lihat pada umo eh lah, memang yang ateh tu lebih tuo. Dan kosian dah jadi ghumah tingga. Kalau dibotoan kan kah elok. Dato' Seri Shaziman konolah tengok-tengok sikit paling-paling buek macam ghumah keluarga Khairy di Gadong tu yang dibuek replika, jadi macam muzium. Masalah he, ponah ko Dato' Shaziman datang monjongok ghumah Uwan Teh ni? Menurut jiran sobolah sodaro-sodaro Shaziman masih ghamai kek kampung tu, malah kato mereko semua eh tu anggota keluarga sopusat-sopusing.

    ReplyDelete
  2. Kalau Zahriman Alias boleh cerita sikit tentang rumah anjang itu moleh gak, boleh gak tahu asal-usul rmah tu.

    ReplyDelete
  3. Dikutip daripada FB 13 September 2012
    Ahmad Pharodz Abd. Rahman: Rumah yang bawah tu macam rumah Hj Mat Noh sekarang. Eden baco juga artikel yang termasuk dalm cerita rumah tu dlam fb bro tu. Nak beri tahu juga, omak den orang Gadong, eden dilahir di Gadong, eden kahwin dongan orang tanah Datar, eden suku Lela Maharaja. Eden pun layak jadi undang luak rembau. itu orang kampong den kato.
    Ahmadfadzil Yassin : Tompi gambar rumah di bawah tu rumah keluarga Zahriman Alias di penajih. Memang banyak rumah yang sama bentuk seperti juga rumah Haji Mohd Noh CC itu. Cuma apa yang ese nak infokan ialah bentuk rumah itu biasanya dibina oleh tukang atau beberapa tukang yang sama, yang ghoti buek ghumah. Dan kalau kita perhatikan bentuk ghmah itu macam ghumah limehkan. Biasanya rumah minangkabau tak macam itu kan.
    Kalau Ahmad pernah mengunjuni Siak di Riau Daratan, Ahmad akan banyak melihat bentuk rumah ini. Poilah buek kunungan. Tentang waris Undang ini, kalau ikut sejarah memang betul kita ini daripada eturunan Undang dan keluarga kito layak jai undang. Namun lihatah sejak Undang Haji Sulong Gadong jadi Undang dulu belum pernah ada undang dari Gadong yang ditabalkan. Itu pun Undng Haji Sulong dari Gadong Darek. Sedangkan kita dari Gadong Baruh. Itulah cerita he. Kalau nak tahu lebih lanut Ahmad Pharodz boleh layari http://www.waris-gadong.blogspot.com/
    ADAT PERPATIH
    waris-gadong.blogspot.com
    Papers on Negeri Sembilan History: Notes on Rembau and Naning - A glimpse into the life - the past, the present and the future - of Negeri Sembilan dwellers, particularly Rembau and Naning, the cradle of Adat Perpateh culture.
    Ahmad Pharodz A Rahman: Banyak artikel dalam fb bro tu yang penuh dengan fakta sejarah yang seronok dibaca. Insyaallah saya akan baca.



    ReplyDelete
  4. Bual suai kenal facebook (message) antara Ahmad Pharod Abd. Rahman dengan Ahmd Fadzil Yassin di Timeline ese.
    Ahmad Fadzil Yassin :
    Welcome to the Alumni TBSST club. u should join the group a.s.a.p and should submit your bits about your yesteryears in TBS. Di Tedatar ado duo Haji Mohd Noh, Jadi yang mano satu, yang di baroh ko yang di darek.
    Tuesday
    Ahmad Pharodz A Rahman:
    Aruah Haji Mat Noh, ex CC Tampin. Bini eh Che'mah. Rumah eh dokek rumah aruah abah kau tu. Den mayang tarawirkh dulu, aruah abah kau lah jadi iman. Bulih tahan yo speed eh.
    Tuesday
    Ahmadfadzil Yassin:
    Haji Mohd Noh tu ese porasan lah tompi ekau ese tak porasan. TBSST 1969, jadi ese lobih tuo dari ekau Jang. Ese TBSST 1962. Boto lah tu kalau ekau somayang terawikh kek surau dopan ghumah Uwan Saadan itu, memang abah ese jadi imam, macam lipeh kudong solat. Tompi macam mano ese tak porasan. Kalau oghang Gadong, dari keluarga sapo agak eh. Gambar yang ado pun tak jelas.
    Yesterday
    Ahmad Pharodz A Rahman:
    Aruah Apak den namo eh Hj Abdul Rahman Hj Ariffin. Abang den Ahmad Pharmy dulu sekolah URES lopeh tu KGV. Akak den Jamaliah Abdul Rahman sekolah Stana Rajo lopeh tu TBS Tampin. Uwan den Indok Eyot, rumah eh topi sawah tak berapo jauh dari mosojid Gadong. Eden dari jah satu sampai fom 3 duduk Gadong. Lopeh fom 3 pindah ko Seri Kondong sobab apak den dah pencen polis dan buek rhumah di Seri Kondong.
    Sokarang duox omak dan apak den dah tak ado lai. Rumah kondong pun tingga dan dah kono makan anai anai. Adek-adik tak mahu buek rumah kek Kondong. Sumo nak duduk Kelumpo.
    Mungkin tak perasan pasal den duduk kondong lopeh fom 3. Jadi tak banyaklah kek kampong Gadong.
    20 hours ago
    Ahmadfadzil Yassin:
    Sobot Fahmi ni toingat ese yang dio ni dulu oghang bosa gomen kan. Tompi Ahmad Pharodz ese tak porasan sangat. Haji Aiffin ayah Ahmad ini oghang borang ko yang ese panggil Dang Ifin. Bukanko ado kono mengono dengan Bang Dol yang nikah Gadong ponjawo tu ko. Ese ni pulak lopeh Form V kojo kek Juhor dan lopeh itu balik kampong jaghang sokali duo yo sotahun. Komudian ada kawan ese namo eh Kholid Borang, anak Dang ifin gak. Dan sobot ponjawa ini ada kawan ese namo eh dak Kamal Anak Ngah Leman, dio kaghang ni tingga di Brunei. Ado kono mengono ko dongan dio. Dan dongan Arwah Hj. Mohd Noh u tu ese kawan dongan dak Ahmad yang kaghang ini dudok kek Kendong jugak.
    17 hours ago
    Ahmad Pharodz A Rahman:
    Salam Brother. Sumo yang di tulih tu topat sekali. Aruah Dang Ifin tu Atok Borang den. Bang Dol, Kholid, pak tam Cin (mat zain mungkal) sumo tu adek beradik apak den. Kholid tu nikah dengan anak Tuan Hj Mat Yatim. Dak Kamal anak ngah Leman orang kampung den yo tu. Rayo ahri tu den poi rumah Kholid, rumah Amat ,bang Dol dan rumah omak Kamal Leman. Puak puak den sumo tu.
    17 hours ago
    Ahmadfadzil Yassin:
    Osah he tak ado oghang lain doh, suku sakat kito jo. Haji Mat Yatim tu abang abah ese, Haji Yassin, ayah samo Hj Zainal, omak lain. Ese panggil Tuan Hj Ytim tu Long Atin. Dulu kocik-kocik solalu poi ghayo ghumah eh kek Logadong, jumpo Bang Fuzi, Bang Dan dan Kak Rohah. Waktu moningga adik ese Amrah 29 Ogos lalu, sompek jumpo dongan Kholid, Ahmad Mohd Noh dan Kak Rohah dongan suami eh. Dongan Kamal lamo dah ese tak jumpo. Dulu waktu ese kojo TCM Johor dulu ado ese bawak masuk kojo Kamal dan anak Bang Dol yang namo eh lupo pulak. Pompuan. Khagang ini kobar eh dah monotap kek JB. Yo, namo eh Shimah. Boto tak. Hanya Ahmad Pharodz ese tak porasan bona. Komudian ada satu koluarga lai kek Gadong hilir tu, Koluarga Long Biah dongan anak-anak eh kawan samo sokolah, Azhar yang ese panggil Dak Abe nikah dongan oghang Muar. Ese gak bawak dio masuk kojo kek TCM dulu. Sorang laie Halim dah arwah, dio ni tinggal kek Gomeh, Moningga kek Mokah kan poi haji kali keduo.

    ReplyDelete
  5. Berdasarkan buku terjemahan Rembau Sejarah Perkembangan Adat dan Istiadatnya oleh Abas Hj. Ali, mantan guru di KGV, Seremban dan bapa YB. Dato' Kamarul Bahrain, MP Telok Kemang dari buku asal C.W.C Parr and W.H. Mackray, Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution and Customs, dalam ISBRAS, 56:1-57, 1910, Raja Rembau, Raja Melewar ditabalkan di Penajih pada 1721-22. Ini adalah berikutan permintaan Undang Rembau, Datuk Kurup yang menghantar utusan ke Pagarruyung, Sumatera Barat, memohon seorang Putera Raja untuk ditabalkan di Rembau (ketika itu entiti Negeri Sembilan belum wujud).

    Iilah sejarah awal kedatangan keluarga Diraja dari Minangkabau ke daerah Rembau, khususnya di Penajih dan Rembau merupakan sebuah negeri yang berdaulat di bawah pimpinan seorang Undang.
    Kira-kira 300 tahun sebelum itu, khususnya pada tahun 1490'an, pembesar Minangabau, Datuk Leteh tiba di Rembau dan menetap di Kampong Relong. Pada masa yang sama Rembau berada di bawah kekuasaan Sultan Melaka dengan Rembau dipimpin Tun Zainal Abidin bin Bendahara Seri Maharaja Tun Perak. Tun Zainal Abidin menetap di Lubok China, bergelar Datuk Lubok China

    Pada tahun 1501, Datuk Leteh dilantik sebagai Pentadbir Rembau dan mulalah orang Minangkabau datang beramai-ramai ke daerah ini.Apabila Portugis menggempur Melaka dan menguasainya pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah terpaksa berundur ke Rembau sebelum berundur ke Ulu Muar. Ini didasarkan catatan T. Braddell dalam " Notes On Naning, with a Brief Notice of the Naning War", dalam JLAEA, New Series, Vol. 1: 194-232,1856.

    Ketibaan Raja Melewar pastinya diiringi dengan satu rombongan Diraja yang terdiri daripada golongan bangsawan berdasarkan heirarki kerajaan berdaulat dan dalam rombongan itu sudah semestinya terdapat anggota keluarga golongan bangsawan yang disebutkan Zahriman Alias di atas. Dan sudah semakin jelas bahawa antara golongan bangsawan itu terdiri daripada keturunan keluarga Zahriman Alias daripada suku Batu Hampar di Minangkabau.

    ReplyDelete

  6. Ini adalah satu perkara yg mesti disimpan dan direkodkan untuk pengetahuan generasi akan datang. Satu usaha yg tersangat baik, untuk dibuat sebagai satu reference dan ini patut disahihkan.

    ReplyDelete

  7. Ahmad Pharodz A Rahman:
    ZA, Hassan bin Ujang ni ado anak berapo orang?. Ado tak namo namo anak dio? Nenek den berbinti Hassan. Manolah tau kok ado kono mongono pulak. Nama Peral tu macam biasa donga. Tapi yang selalu den donga maso kocik kocik dulu ialah Cekgu Ahmad Peral. Tak tahulah orang yang samo atau yang lain.

    Zahriman Alias:
    Sapo namo nenek kau....tapi raso eh bukan lah tu. Anak pompuan dio lom becucu, cantik lawa lagi. Cikgu Ahmad Peral tu pun orang lain, hanyo berjiran, takdo kono mengono.

    Ahmad Pharodz A Rahman:
    Eyot binti hassan

    Zahriman Alias:
    Anak Hassan tu adalah ahli TBSST kito, Norlida Abu Hassan dan komba eh Norlina Abu Hassan. Ina dan Ida, tulih lah cerito sikit dalam TBSST ni, kito nak donga.......janganlah main ontok yo.

    Ahmad Pharodz A Rahman:
    AFY, simpang tiga ke Melako kek kodai jua lomang tu tanah kosong tu tanah bini den. Rumah aruah apak den yang kek Seri Kendong tu, kodopan lagi arah ko Tampin, lopih simpang ko Tabuh Naning bolah kiri, ada kodai yang takborapo diguno bolah kanan, masuk kiri sobolum jambatan. Jalan masuk eh kocik yo. Apo yang AAB bori tahu tu botul.

    Ahmad Pharodz A Rahman :
    ZA, lain orang. Anak Hassan den tu lain namo eh.

    Ahmadfadzil Yassin :
    Oow, ghoti eh kek simpang Tabuh Naning la ni. Yang ao ghumah biru nak masuk ke simpag sri kendong itu ghumah sapo pulak. Cantik ghumah itu, ponah ese masuk bilo dibuek dulu, bokonan ese tompi dalam he kocik bona. Ese suko bontok he. Ponah oghang ghumah ese nak buek macam tu, tompi bila masuk dan lihat ruang ilik eh tak jadi sobab kocik bona, nak masuk kate pon tak boleh. Tompi wana ghomah itu memang lawa. Bokonen ese. Ese dulu solalu poi ko ghumah Dak Atif Umbo kek dalam dio buek Sukobumi resort. Tompi dah jual dan dio sokoluargo pindah boli ghumah kek Lubok Chino. Dio tu alumni TBSSt gak tu. Dio tu pak sodagho ese. Ghamai adik-boradik jantan eh, Pak Ngah Yahya, Pak ILI (cikgu Tahir) dan Nikmat.


    .

    Options.

    OLDER POSTS





    Tajul Ariffin Kamat

    ReplyDelete
  8. Nak tanyo sikit, kalau kito dah donga Zahriman kata asal keluarganya dari keturunan bangsawan, kito nak donga pulak asal koluarga Uwan Teh yang ghumahnya samo bontok dongan ghumah koluarga Zahriman. Apokah asal koluargo tuan punyo ghumah itu daripada koturunan bangsawan jugak dan tidak hanya ghumah itu ponah didiami oleh uwan Menteri Kerjaya Raya kito sokaghang.

    ReplyDelete
  9. Ada banyak teromba tentang asal-usul Uwan teh ini. Ese tongah mengumpoan teromba ini dan juga nak buek perbandingn dengan kandungan buku Negeri yang Sembilan susunan Allahyarham Norhalim Ibrahim seorang pensyarah UPM dan tokoh budaya NS. Insya-Allah tak lamo laie ese akan ceritokan. Yang ada dalam kepala ese sokarang pertamo cerito dari sako, kedua cerito dari omak ese dan ketigo cerito dari Riau. Kono tunggu sedikit maso sobab nak susun. Kemudian nak bandingan juga dengan buku Batu Nisah Acheh susunan seorang penulis dari Pernchis dengan sarjana dari Johor. Setelah siap nanti bolehlah Anak Suku Tanah Datar baca dan buat analisis pula, mano satu cerito yang boto. Sati hint yang ingin ese berikan ialah Uwan Teh ini adalah dari satu keluarga besar penghuni Kg. Tanah Datar, Gadong dari keluarga Jaafar dan Sulong. Kebetulan pulak dalam salsilah keluarga Diraja di Seri Menanti dari keturunan Raja Melewar ini ada juga nama Sulong dan Jaafar ini, tapi namanya Tengku Sulong dan Tengku Jafar walaupun berlainan masa. Lihat buku Negeri Yang Sembilan terbitan Penerbit Fajar Bakti, 1984.

    ReplyDelete
  10. Buat sementara waktu sosapo yang bominat nak tau soghobo sodikit coghito ini elok layari blog Adat Perpatih:
    http://www.waris-gadong.blogspot.com

    ReplyDelete