Dua buah rumah di bawah ini adalah kepunyaan keluarga Uwan Teh dan keluarga Zahriman Alias. Satu terletak di Kg. Tanah Datar, Gadong dan satu lagi terletak di Penajih, Chengkau.Menariknya bentuk rumah ini sama, cuma satu lebih lama daripada yang satu lagi.
Barangkali kedua-dua keluarga ini tahu bila rumah-rumah ini dibina dan oleh siapa. Yang identik ialah penghuni rumah ini. Salah seorang penghuni rumah lama di Tanah Datar ini nmanya Ngah Rashid, anak Uwan Teh (Tiawa) yang kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Kg. Relong. Sementara rumah yang lebih baru milik keluarga Zahriman terletak di persimpangan Penajih-Relong.
Adalah diyakini suatu ketika dahulu anggota keluarga di dua buah rumah yang serupa ini pernah mengikuti jalan ke Relong ini. Dan diyakini juga anggota Uwan teh yang melalui jalan simpang ke relong ini akan merenung ke arah rumah ini untuk menghayati senirekanya. Hati mungkin berdetik berkata: Macam ghumah eden jo!
Di rumah Uwan Teh ini kita kaitkan dengan seorang anggota Kabinet Persekutuan hari ini, iaitu Dato' Seri Shaziman Abu Mansor, Menteri Kerja Raya dan bersepupu dengan YB Khairy Jamaluddin. Bapa Shaziman, Abu Mansor dengan bapa Khairy, Jamaluddin adalah adik-beradik. Kedua-duanya anak Penghulu Haji Bakar yang terenl di daerah Rembau. Sementara dalam kalangan keluarga Zahriman, bapa Zahriman sendiri sorang tokoh guru veteran, dan Zahriman sendiri mantan pegawai polis dengan post terakhirnya sebelum bersara menjadi OCPD Grik, Perak.
Dipercayai juga kedua-dua keluarga ini berasal daripada keturunan "keluarga bangsawan" juga yang dikaitan dengan Pagarruyung. Kebetulan juga dua keluarga yang tidak mempunyai kaitan ini memiliki keluarga besar. Contohnya, Uwan Teh beribubapakan Jaafar dan Sulong dn Uwan Teh meninggal dunia semasa mengerjakan Haji di Mekah. Zahriman pula mungkin dapat menjelaskan salsilah keturunannya pula untuk pengetahuan kita bersama.
Ahmad Fadzil Yassin:
Bukan apo ahriman, ese nak cubo kaitkan kisah
keluarga duo keturunan ini. dari pihak ese ada jugak cerita yang dikaitkan
dengan "keturunan bangsawan" ini. Malah lebih tragik sikit.
Zahriman Alias :
Menurut cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua
dalam keluarga kami, keturunan saya memang orang asal di kampung Ampangan,
Penajih. Kami memang berasal dari Pagarruyung , Sumatra Barat. Mengikut dua
orang bapa saudara saya yang masih hidup, Tuan Haji Tambi Abdullah bin Long,
pesara Kerajaan dan bekas Pengarah di Jabatan Penerangan, dan adiknya Tuan Haji
Mohammad bin Long, juga pesara Kerajaan, nenek moyang kami adalah termasuk
dalam rombongan terawal Tuanku Raja Melewar yang datang ke mari pada tahun
1770an dari Pagarruyung.
Mereka beramai-ramai menaiki perahu membedah Selat
(Melaka) menuju Kuala Sungai Linggi dan menyusur ke hulu sampai ke Kampung
Ampangan Penajih......di sinilah letaknya telapak awal saya. Nenek moyang saya
yang pengenalannya tidak pula diketahui, telah sama-saa dengan Raja Melewar
membuka kampung pertama di Ampangan. Namun, di suatu masa berikutnya, barulah
Yamtuan berpindah pula ke kampung Penajih Bandar di mana baginda kemudian
ditabalkan sebagai Yamtuan Besar pertama Negeri Sembilan.
Mengikut ceritanya lagi, keluarga saya juga dari
keturunan bangsawan, namun bukan keturunan langsung (direct) Tuanku Melewar,
tapi suku-sakat baginda. Suku saya ialah Batu Hampar Minangkabau. Telapak asal
keluarga saya bukanlah di rumah yang ada dalam gambar itu, tetapi di sebuah
rumah lain yang kini didiami oleh Cikgu Hasnah bt Peral, Ketua Wanita UMNO
Rembau sekarang. Disitulah sebenarnya arwah moyang saya bernama Simai bt Kassim
tinggal sejak beliau dilahirkan pada tahun 1883.(Lebih kurang).
Pada tahun 1930an, Simai bt Kassim menduduki
rumah itu bersama anggota keluarganya termasuk suaminya, Ujang, anak
perempuannya Pesah, suami Pesah nama Peral, anak perempuan seorang lagi bernama
Siti ( nenek saya) dan suami Siti bernama Long bin Maasol. Keadaan rumah
bertambah sempit apabila Pesah beranak-pinak, dan Siti (nenek saya) pun
beranakkan Aishah (emak saya) Tambi Abdullah, Mohammad, Sadinah, Khadijah dan
Zaleha.
Jesteru itu, moyang saya Simai mengambil
keputusan membeli sekeping tanah juga di kampung Ampangan dari seorang bernama
Itam. Kemudian pada tahun 1935/36 Simai telah mendirikan sebuah rumah di tapak
baru itu dengan segala kos ditanggung oleh anak bongsunya, Hassan bin Ujang
yang ketika itu bekerja sebagai Penterjemah (Interpreter) Mahkamah di Kuala
Lumpur. Itulah rumahnya yang terdapat dalam gambar itu. Ia siap dibina lebih
kurang pada 1937 dan di sanalah tempat tumpah darah saya.
Tukang yang diupah membuat rumah itu ialah
seorang bangsa Cina. Nama dia saya dah lupa. Saya akan semak semula kemudian.
Kerja-kerja mendirikannya bukanlah kerja yang senang. Ini adalah kerana ketika
itu kampung saya belum ada jalan raya yang boleh dilalui kereta. Hanya ada
lorong untuk basikal.
Oleh itu semua bahan rumah termasuk kayu, tiang,
papan, atap genting, simen, pasir, batu dan sebagainya telah diangkut dengan menggunakan
basikal, diheret dan disorong sejauh 3 batu dari Chengkau ke tempat saya. Kerja-kerja
mengangkut bahan-bahan itu semua dilakukan olah arwah datuk saya, Long bin
Maasol dan dibantu oleh seorang yang bernama Akob.
Apabila rumah dah siap, moyang saya, Simai telah
berpindah ke rumah baru itu bersama suaminya Ujang, anaknya Siti, menantunya
Long dan anak-anak Siti termasuk Aishah, ibu saya. Arwah emak telah berkahwin
dengan arwah abah di rumah itu pada tahun 1938. Sehari selepas perkahwinan,
tiba-tiba moyang Ujang saya meninggal dunia. Ini kemudian diikuti pula oleh
arwah nenek saya Siti yang meninggal dunia. Nenek meninggal ketika umur 38
tahun dan saya tidak pernah berpeluang mengenalinya.
Moyang Simai saya terus tinggal di rumah itu
dengan disara dan dijaga oleh emak dan abah saya sehingga dia meninggal dunia
pada 1959. Atas jasa emak yang menjaga moyang, apabila moyang meninggal, rumah
tersebut diserah kepada arwah emak. Namun umur emak pun tidak panjang. Beliau
meninggal dunia setahun kemudian ketika berumur 38 tahun. Justeru itu, rumah
tersebut kini diserah kepada adik perempuan saya yang bongsu bernama Norlin bt
Alias sehinggalah sekarang.
Ahmad Fadzil Yassin :
Masih belum dapat menentukan asal keturunan keluarga Uwan Teh, tapi menurut cerita ahli keluarga ia ada kaitan dengan kisah nisan Batu Aceh yang terdapat di "porak" kakak Uwan Teh seperti yang diceritakan dalam blog http://www.waris-gadong.blogspot.com
Nisan Batu Acheh di poghak Uwan Piah di Kg. Tanah Datar, Gadong, Kota. Menurut pakar sejarah, lazimnya kaum bangsawan seperti kerabat Diraja akan membawa bersamanya nisan Batu Acheh untuk tanda di pusaranya. Ini yang terlihat di tanah pusaka keluarga Jaafar dan Sulong di Tanah Datar ini.
Tuesday, May 13, 2008
MISTERI BATU ACEH DI
SUKU TANAH DATAR 13 mei 2008
Nisan Batu Aceh yang ditemui di kawssn rumah Safiah Jaafar di Tanah Datar.
CATATAN A.F.YASSIN
MISTERI BATU NISAN DI TANAH DATAR, GADONG.
Sepasang batu nisam yang terdapat di kawasan rumah ini menyerupai batu nisan
yang dikenali dengan nisan Batu Aceh. Ini dapat dilihat daripada bentuk dan
ukirannya yang menyamai bentuk dan ukiran batu nisan makam raja-raja, seperti
yang terdapat di Makam Tauhid dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kota
Tinggi, Johor.
Bentuk batu nisan ini sama dengan bentuk batu nisan yang menghiasi kulit buku
Batu Aceh Warisan Sejarah Johor yang ditulis oleh Daniel Perret dan Kamaruddin
Abd. Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999.
Berdasarkan kajian Daniel dan Kamaruddin, batu Aceh “digunakan untuk orang
Islam tertentu sahaja di Semenanjung Malaysia mulai abad ke-15. Sebenarnya
maklumat yang terkandung dalam tulisan yang diukir pada beberapa batu Aceh
menunjukkan bahawa ia digunakan sebagai tanda makam sultan, kaum kerabatnya
serta orang-orang Besar kerajaan.”
Lazimnya, pada ketika kesultanan Melayu baik di Melaka, mahupun di
tempat-tempat lain dalam daerah Nusantara adat kematian orang biasa tidak
disebut dalam sumber-sumber tempatan. Undang-Undang Melaka, berdasarkan Fasal
Ketiga, memberikan beberapa maklumat tentang hukum kematian rakyat jelata,
orang besar-besar dan pemimpin, khususnya larangan berkaitan dengan penggunaan
payung dan warna kuning. Ia tidak menyebut bahawa mayat orang biasa dikuburkan.
Menurut sejarah mayat orang Melayu biasa dibakar, tidak dikebumikan seperti
yang dilakukan hari ini.
Maka batu nisan yang ditemui di halaman rumah Uwan Piah itu dikesan sebagai
batu nisan jenis Batu Aceh. Menurut Daniel dan kamruddin yang memetik kata-kata
Prof. Dr Othman Yatim dari Jabatan Muzium dan Antikuti, Kuala Lumpur dan kini
pensyarah kanan di Universiti Malaya, setakat ini kira-kira 300 batu aceh
ditemui di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Dan jika benar batu nisan di
halaman rumah Uwan Piah itu dari jenis Batu Aceh maka jumlahnya kini meningkat
301 buah. Johor dikatakan mempunyai jumlah yang banyak, iaitu kira=kira 211
buah berdasarkan kajian Daniel dan Kamruddin. Namun R.O. Wonstedt menemukan
hanya 137, sementara Dr Othman menemukan 137
Nisan Batu Aceh dilihat dari arah utara.
Berdasarkan kajian yang dilakukan Daniel dan Kamaruddin dan Dr. Othman Yatim,
batu nisan Batu Aceh terdiri daripada 16 jenis dan mempunyai 14 bentuk. Jika
diteliti batu Aceh yang terdapat di halaman rumah Uwan Piah itu adalah dari
jenis C yang sehingga kajian dibuat ditemukan sebanyak 90 buah (tidak termasuk
yang ditemui di halamn rumah Uwan Piah.
Batu Aceh mula disebut pada tahun 1512 oleh Tome Pires dalam bukunya, Suma
Oriental. Beliau menyebut makam Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka, menggunakan
batu nisan jenis Batu Aceh. Batu Aceh ini dibahagikan yang terdiri daripada
“kepala”, “badan” dan “kaki”. Bahagian di antara kepala dan badan, iaitu
bahagian yang melengkung disebut “bahu” sementara bahagian yang paling bawah
ataupun tapaknya disebut “kaki”. Kebanyakan batu nisan ini diperbuat daripada
batu pasir (sandstone) kerana lembut dan mudah dibentuk. Batu jenis ini tidak
terdapat di Semenanjung Malaysia tapi hanya terdapat di Aceh. Hiasan yang
terdapat di batu nisan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tulisan atau
inskripsi dan symbol atau lambang.
Berdasarkan maklumat tersebut di atas dan keyakinan bahawa batu nisan Batu Aceh
hanya digunakan untuk menandakan makam raja-raja, kerabatnya dan orang Besar
kerajaan, maka diyakini, batu nisan di halaman rumah Uwan Piah di Kg. Tanah
Datar Gadong adalah dari jenis Batu Aceh. Dan ini menjadi bukti bahawa jenazah
yang dikebumikan itu ialah jenazah diraja, sama ada raja, ahli kerabatnya atau
orang Besar raja.
Yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa batu nisan itu berada di halaman
rumah berkenaan. Juga menjadi tanda tanya di kedua-dua tanah perkuburan Gadong
dan Tanah Datar tidak ada batu nisan jenis ini. Jika makam ini makan diraja,
siapakah gerangan yang dimakamkan? Jika lokaliti menjadi pra-syarat keyakinan
maka besar kemungkinan makam itu adalah makan nenek moyang keluarga Uwan Piah
adik-beradik.
Sayugia dimaklumkan bahawa Uwan Piah mempunyai beberapa orang adik-beradik.
Yang tua bernama Lanjung (Anjung) yang juga digekar Uwan Aruh. Yang kedua ialah
Sakiyah, ketiga Piah (Safiah). Keempat Meja (Uwan Anjang), Kelima Hawa (Uwan
The), keenam Hussein (yang kahwin dengan orang Mungkal dan ayah kepada Aji (Datuk
Samsura Pahlawan, ssalah weorang Lembaga Tiang Balai Nan Berempat) dan suami
kepada Induk Limah. Dan yang paling bongsu ialah Bedah (Uwan Cu).
Orang tua mereka ialah Jaafar (ayah) dan Sulung (ibu). Siapa orang tua Jaafar
atau Sulung masih menjadi tanda tanya. Menurut sejarah Negeri Sembilan,
khususnya sejarah kerabat diraja Negeri Sembilan, ada satu jurai keturunan
daripada Raja Melewar, iaitu Tengku Jaafar berkahwin dengan Tengku Sulung.
Persamaan nama dua mempelai diraja ini dengan Jaafar dan Sulung yang tinggal di
Tanah Datar menjadi satu misteri yang jawapannya mungkin terletak pada batu
nisan Batu Aceh di halaman rumah Uwan Piah.
Buku Batu Acheh terbitan Yayasan Warisan Johor. Bandingkan data yang terdapat
dalam buku ini dengan makam yang menggunakan nisan batu Acheh di Suku Tanah
Datar, Gadong.
Kajian perlu dilakukan ke atas batu nisan berkenaan dari sudut saintifik dan
sejarah. Barangkali pakar antikuiti seperti Prof. Dr Othman Yatim yang banyak
mengkaji Batu Aceh ini boleh membantu mencari jawapan kepada misteri batu nisan
Batu Aceh di Tanah Datar ini. Tulisan sama ada dalam bentuk inskripsi atau
lambang di batu nisan itu mungkin dapat membantu menghuraikan bukan sahaja misteri
kewujudannya di kawasan itu, tetapi sekaligus menemukan jurai keturunan Jaafar
dan Sulung. Siapa mereka sebenarnya dan dari mana mereka dating sehingga
menetap di Kg. Tanah Datar.
Perlu juga dimaklmkan bahawa istana Pagarruyung di Sumatera Barat tempat
bersemanyamnya raja-raja Minangkabau terletak di luhak (luak) Tanah Datar. Raja
yang mendirikan kerajaan Minangkabau ialah Adityavarman (1305-1398) dengan
Pagarruyung menjadi ibukotanya.
Pada abad ke-19 berlaku pertentangan antara kaum adat dengan kaum bangsawan di
Pagarruyung yang dikenal sebagai Gerakan Padri. Kaum Bangsawan yang dikenali
sebagai kaum Padri ini bersetuju mengadakan rundingan di Bukit Marapalam,
berhampiran Pagarruyung. Kesepatan dicapai yang dikenal dengan permuafakatan
(konsensus), iaitu “Adat Bersendi Syarak, Syarak bersendi Adat”. Maksudnya adat
dan agama saling berhubungan.
Kesepakatan ini tidak bertahan lama. Ketika British menguasai Padang, satu
rundingan Kota Tengah diadakan antara kaum Padri di bawah pimpinan Tuanku
Lintau dengan Perwakilan dari Pagarruyung. Tetapi semua perwakilan dari
Pagarruyung dibunuh. Sultan Muning Alam Shah, Raja Pagarruyung dapat melarikan
diri ke Bahagian Timur. Anak saudaranya, Sultan Gagagar Alam Shah berundur ke
Padang. Tidak dijelaskan daerah timur yang mana Sultan Muning dan keluarganya
melarikan diri. Apakah sultan itu dan kerabatnya menyeberang Selat Melaka dan
adakah salah seorang daripada kerabat itu ada yang bernama Tengku Jaafar dan
Tengku Sulong?
Juga untuk mengelakkan daripada dikejar oleh kaum Padri di Minangkabau, maka
keluarga diraja ini membuang gelaran tengku di hadapan namanya dan hanya mahu
menjadi rakyat biasa dan meneroka kawasan apa yang dinamakan Tanah Datar,
Gadong hari ini?
Ada beberapa teori lain yang boleh menjawab misteri Batu Aceh di Tanah Datar
ini. Satu teori yang dianggap munasabah ialah kegagalan anak Raja Melewar
menggantikan Raja Melewar (Raja Mahmud) menjadi raja Negeri Sembilan
(1773-1795). Anak Raja Melewar ini bernama Raja Totok. Undang Yang Empat tidak
melantik Raja Totok menjadi Yang Dipertuan tetapi menjemput seorang lagi anak
raja di Minangkabau untuk ditabalkan. Nama anak raja yang dijemput itu ialah
Raja Hitam. Setelah Raja Hitam mangkat pada tahun 1808, puteranya Raja Alang
Husein tidak ditabalkan. Sebaliknya anak raja dari Minangkabau dijemput, iaitu
Raja Lenggang. Baginda memerintah dari tahun 1808 hingga 1824.
Apabila baginda mangkat anaknya Raja Radin menggantikannya. Mulai saat ini anak
raja dari Pagarruyung tidak dijemput lagi. Tidak dijelaskan mengapa jemputan
ini tidak diteruskan lagi seperti sebelumnya. Dan juga tidak dijelaskan mengapa
putera Raja Melewar tidak dijadikan raja. Begitu juga halnya dengan Putera Raja
Hitam. Putera Raja Melewar ialah Raja Totok dan putera Raja Hitam ialah Raja
Alang Hussein. Kemungkinanya Raja Totok dan Raja Alang Hussein masih kecil
sehingga belum bersediakan dijadikan raja.
Soalnya, apa telah terjadi dengan keturunan Raja Melewar dan puteranya Raja
Totok. Sudah tentu mereka mempunyai keluarga dan di mana ahli-ahli keluarga
diraja itu sekarang. Kemungkinan masih ada jika keturunan Raja Melewar ini
masih berada di Negeri Sembilan tetapi lokasinya tidaklah diketahui. Apakah
kemungkinan salah seorang ahli kerabat diraja ini membawa diri ke Rembau,
khususnya ke Tanah Datar Gadong dan meneruskan kehidupan sebagai rakyat biasa,
tanpa mahu menggunakan gelaran diraja lagi.
Biasanya raja-raja dan ahli kerabatnya ketika itu membawa batu nisan dari jenis
Batu Aceh ke mana sahaja mereka pindah. Jika demikian apakah tidak mungkin salah
seorang kerabat keturunan Raja Melewar ini dari salsilah Raja Totok membawa
bersamanya batu nisan Batu Aceh ini ke Rembau sebagai persediaan menjelang
tutup usia.
Teori ini menarik. Menurut sejarah Raja Melewar, sebagai Raja Rembau, tidak
disenangi oleh kumpulan-kumpulan tertentu, terutama Undang Luak Rembau, Datuk
Sabat Sedia Raja, kerana tingkah laku dan tidak tanduk raja itu ketika
memerintah. Sejarahwan Norhalim Ibrahim menyebut punca rasa tidak senang Datuk
Undang ialah keputusan Raja Melewar mengahwini Cik Sani, anak Datuk Naim dari
Sri Menanti. Cik Sani ini adalah adik kepada Warna Emas, isteri Raja Khatib
yang dianggap Tan Sri A. Samad Idris sebagai pembelot kepada Raja Melewar.
Samad menulis Raja Khatib dititahkan Raja Pagarruyung untuk membuat persediaan
sebelum keberangkatan Raja Melewar sebagai Raja Rembau (ketika itu belum ada
apa yang disebut Negeri Sembilan) dan menganggap dirinya Raja yang dilantik.
Raja Melewar kemudian memerangi Raja Khatib yang bersekongkol dengan mentuanya
Penghulu Naim pada kali kedua setelah kalah pada kali pertama. Khabarnya Raja
Khatib melarikan diri ke Naning dan kemudian diserahkan kepada Sultan Siak.
Sebabnya pembelotan Raja Khatib ini dirancang oleh Sultan Siak sendiri..
Bagaimanapun orang Rembau tidak senang dengan tindakan Raja Melewar menjadikan
adik ipar musuhnya itu sebagai isterinya. Raja Melewar pun diminta keluar dari
Rembau dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah isterinya di Seri Menanti.
Dalam perjalanan, berlaku salah faham antara pengikut Raja Melewar dengan
tentera Rembau di Lubuk Rusa berhampiran dengan Kampung Selemak. Orang Rembau
yang simpati dengan tenteranya cuba menyekat perjalanan Raja Melewar di Pedas.
Mereka kemudian memburu Raja Melewar hingga ke hutan Miku namun Raja Melewar
berjaya sampai ke Seri Menanti manakala ada beberapa orang kerabatnya dikatakan
sempat melarikan dari dri serangan itu.
Baik Samad mahupun Norhalim tidak menyebut tentang akibat serangan itu. Juga
tidak dijelaskan apa yang terjadi dengan kebanyakan pengikut Raja Melewar,
terutama puteranya Raja Totok. Seorang penduduk Tanah Datar yakin beberapa
orang ahli kerabat Raja Melewar menyelamatkan diri dengan berundur ke selatan
hingga ke Rembau Baruh. Mereka kemudian “menanggalkan” semua darjah kebesaran
dan memutuskan untuk menjadi rakyat biasa untuk mengelak mereka diserang Undang
dan pengikut-pengikutnya.
Penduduk ini amat yakin salah satu pasangan suami isteri yang menetap di Tanah
Datar boleh dikaitkan dengan keturunan Raja Melewar ini. Pasangan itu bernama
Jaafar dan Sulung. Dalam salsilah Raja Melewar ada ahli kerabatnya yang bernama
Raja Jaafar dan Raja Sulung. Katanya, “Ini persamaan yang amat tidak boleh
diabaikan begitu sahaja. Mungkin Jaafar dan Sulung ini boleh dikaitkan dengan
salsilah ini. Satu kajian boleh dilakukan.”
Penduduk ini menyandarkan kaitan itu dengan nisan Batu Aceh di pekarangan rumah
Uwan Piah. “Takkanlah batu nisan itu tidak mempunyai apa-apa pengertian.
Mustahil ia ditanam di situ tanpa jenazah. Jika kelaziman raja-raja dan pembesar
Kerajaan dahulu membawa batu nisan ke mana-mana menjadi petunjuk saya yakin
batu Aceh di Tanah Datar ini adalah dari kerabat raja juga. Yang belum dapat
dijawab siapa ahli kerabat diraja itu. Mungkin juga salah seorang anak cucu
Raja Melewar,” katanya.
Othman dan Norhalim boleh membantu meleraikan persoalan ini dengan mengadakan
kajian bersama dengan Jabatan Musium dan Antikuiti Malaysia. (Dipetik daripada
akhbar mingguan Utusan Zaman).
Anda mungkin juga meminati:
|
|